top of page
Writer's pictureBen Hasan

Bagaimanakah Melayu dididik untuk memilih dalam politik?

Updated: May 21, 2024

  1. Betulkah Melayu sudah berhenti bertanya tentang pentingnya politik dalam mengubah hala tuju sesebuah negara? Apabila sesebuah negara menuju di landasan yang betul, seluruh isinya, termasuk kita yang kecil akan diiring sekali sekalipun kita tidak endah atau kurang menyumbang.

  2. Tidak lama lagi, sekali lagi rakyat kita diberi peluang untuk memilih bagaimana negara ini akan dibawa untuk lima tahun akan datang. Saya – dan anda juga – percaya yang negara ini tidaklah dikemudi secara autopilot. Ia berkeupayaan untuk dipilih. Maka, segala hala tuju dan bagaimana ia mengelak malapetaka bolehlah ditentukan lebih awal.

  3. Kita tidak boleh mengawal jalan mana yang ada di hadapan, atau seteruk mana onak yang bakal dirempuh. Ia langsung tidak pernah menjadi kayu ukur. Yang menjadi kayu ukur hanyalah bagaimana ia dikemudi.

  4. Jika saya mahu katakan satu-satunya cara untuk memilih hala tuju, ia adalah melalui jalan politik – iaitu dengan memilih siapa yang hendak kemudi. Pemimpin yang betul dilahir oleh pemilih yang betul, begitulah sebaliknya. Inilah prinsip yang dipegang di mana-mana pun. Sudah terdidikkah kita tentang hal ini bahawa ini sesuatu yang dimalarkan, bukannya pemboleh ubah.

  5. Ada sesetengah bangsa di dunia ini yang tidak ada peluang untuk memilih hala tuju negara. Bagi mereka, ia telah ditentukan oleh orang lain. Untung nasib, jatuh bagun, tidak berada di tangan mereka. Mahu atau tidak, mereka terpaksa terima. Kalau baik, mereka syukur. Kalau tidak baik, mereka akur terima. Melayu telah berada dalam keadaan ini untuk sekian lama. Melayu kena sedar, melainkan mereka sudah tidak kisah.

  6. Jika dianalisa keputusan PRU14 yang lalu, Melayulah yang antara bangsa yang rapuh. Melayu menjadi bertambah keliru dek bertambahnya pilihan yang ada di tangan mereka. Ya, Melayu bersyukur kerana ada pilihan, tetapi menjadi bingung jika pilihan itu menjadi banyak, menjadi lebih dari apa yang mampu ditanggung oleh akal Melayu. Mungkin Melayu fikir jika tangan itu dua, maka pilihan pun perlu dua, tidak lebih dari itu. Tetapi, hidup yang bercorak dan bercabang ini memahamkan kita bahawa bukankah lebih banyak pilihan, maka lebih kukuh logik dan taakul perbandingan kita?

  7. Polarisasi pemikiran Melayu yang diterjemah melalui apa yang mereka pilih ini nampaknya makin sukar dikawal. Di antara banyak pilihan yang ada, kita patut sudah tidak ada masalah panjang untuk tentukan yang mana paling baik. Tapi ia masih lagi belum dapat diselesaikan sehingga saat ini. Kalau Melayu diizikan untuk berperasaan sedikit iri hati, Melayu patut dengki dengan kaum lain yang hampir sebulat suara memilih apa yang sebetulnya dipilih. Sedangkan pilihan yang ada di tangan mereka ketika itu juga banyak.

  8. Kekeliruan Melayu dalam memilih ini membimbangkan sehingga kadang-kadang mereka fikir tidak memilih langsung itu lebih utama sebab pada mereka tidak rugi jika tidak memilih.

  9. Ia tidak pelik, kerana dalam agama yang satu ini pun, Melayu senang menjadi keliru hingga berpecah – oleh orang agama sendiri, bukan orang politik. Padahal Melayu tahu agama itu sendiri yang akhirnya patut menyatukan Melayu. Lebih pelik dari itu, Melayu yang semakin dilihat sedang bersatu di atas landasan politik selepas PRU14, dipecah pula oleh pemimpin politik agama konservatif.

  10. Jadi, bagaimanakah sebenarnya Melayu dididik untuk memilih dalam politik? Bolehkah Melayu sekali lagi dididik oleh orang yang bijak dan baik dalam kedua-duanya – agama dan politik? Satu-satunya jalan keluar adalah dengan mengira prinsip politik manakah yang secocok dengan pemikiran kita.

  11. Lahirlah pemimpin yang mana sekalipun dan bawalah parti apa sekali pun, jika prinsipnya betul dengan pegangan kita, ia sudah memadai. Sebelum kita sudah ditarik hak untuk memilih lagi, jika sosok itu sudah ada, maka pilihlah ia. Jika belum ada, maka tanyalah diri sendiri: sudah terdidikkah kita?

1 view

Recent Posts

See All

Utopia politik masa depan

Saya fikir parti politik berasaskan kaum dan agama sudah tidak lagi relevan di negara ini. Setelah lebih 60 tahun negara ini telah...

Melayu UMNO mudah lupa

Sejak kekalahan maruahnya ketika PRU15, UMNO makin menebal mukanya, dan makin menipis ingatannya yang lepas. Parti yang hanya menang 26...

Pesan Nietzsche

Ahli falsafah terkenal, Friedrich Nietzsche pernah menyebut: “Whoever fights monsters should see to it that in the process he does not...

bottom of page