Antara hasil-hasil yang paling kita berkehendak, kita amat berharap akan hasil yang berguna. Lebih-lebih lagi, hasil itu pula pada masa lain nanti, dilihat dan dinikmati oleh tangan lain. Semakin banyak mulut yang hendak disuap, semakin banyak pula peluh bertitis.
Bagaimana ia mula-mula ditanam, dibaja, diperlihara suatu masa dahulu, tidaklah pula diambil peduli sangat oleh tangan yang memetik itu. Hanya tuannya sahaja yang tahu selok belok pangkal hulunya. Pengharapan agar bajaan itu terhasil, sedikit pun tidak putus.
Di persimpangan jalan, orang mungkin melihat banyaknya hasil-hasil, oleh tuan yang berbeza. Meskipun baja dan airnya sama, buahnya tetap lain, walaupun ia dari ranting yang sama.
Apa yang pasti, ia pasti akan disentuh dan diambil. Buah yang baik, pokoknya tidak perlu rendang, akarnya tidak semesti tunjang. Ada juga kurangnya sana sini. Bila orang hendak merasa, buahnya diambil juga. Bila orang berpanas hujan, rimbunanya tetap meneduh.
Ada hari yang tuannya akan berehat. Setiap kali melihat hasil itu, sudah tentu ia akan berasa puas atas khidmatnya. Pokonya sudah dewasa sekarang. Untung hidup, bila orang lain pun dapat merasa hasilnya.
Tuan itu sentiasa ingat, apa yang dibaja hari ni tidak akan dituai hari ini juga. Bila buahnya kelihatan, akan ada tangan-tangan yang peroleh manfaat.
Hanya pada hari ini, orang-orang sekeliling ada pilihan. Ramai yang memakan buah. Sebahagiannya menyimpan. Jarang-jarang yang menanamnya semula. Amat sedikit pula yang memilih untuk menemui bertanyakan tuannya.
Kami, walaupun menjadi orang yang sedikit itu, akan kekal selamanya berterima kasih kepada tuan itu. Anak benih yang sudah betahun lamanya ditanam, hari ini dapat dituai hasilnya.
Tuan itu akan berhenti bertanam, tapi buah tidak akan putus untuk dihasilkan. Percayalah, buah-buah yang tergantung banyaknya ini, akan ada tangan yang sentiasa memetik.
Terima kasih atas khidmat bakti selama berpuluh-puluh tahun mendidik anak bangsa. Kami doakan ibu dan bapa sentiasa dirahmati. Percayalah, anak-anak bangsamu sedang menikmati hasil usahamu.
Buah yang tergantung untuk orang lain
Updated: May 21