Apabila Francis Galton mempopularkan terma “nature vs nurture” dalam dunia moden, ramai sarjana yang melanjutkannya kepada perbincangan lebih terbuka dan kritikal. Dari subjek yang pada mulanya dianggap konservatif, petuntuk-petunjuk baru menampakkan sedikit sebanyak kebenaran tentang keupayaan persekitaran dalam membentuk ruang pendidikan seseorang.
Persekitaran, jika tidak keseluruhannya, berupaya mempengaruhi pola pemikiran dan corak individu dalam adaptasi sosial, terutama dalam menyelesaikan masalah. Di samping nilai-nilai semulajadi turun-temurun, seseorang akan menyesuaikan diri dengan persekitaran yang pelbagai.
Hari ini, dalam respon masyarakat dunia yang kritikal terhadap Islam, pemikiran Muhammad Abduh — yang mendakwa dapat ‘melihat’ dunia Eropah yang ‘lebih Islamik’ berbanding Timur — harus diadili dengan lebih praktikal. Persekitaran yang cepat berubah dan responsif terhadap isu agama memungkinkan masyarakat dan sarjana Barat mula mendekati Islam secara teori.
Percambahan adunan pemikiran Islam yang kritikal oleh sarjana Barat, dan didorong dengan sikap semulajadi terhadap nilai-nilai hidup yang tekun dan bersungguh-sungguh, meninggalkan kita kepada persoalan apa yang sedang dilalukan oleh dunia Arab pada masa kini. Persekitaran Eropah telah menyebabkan Islam menjadi begitu terbuka untuk dipelajari dengan lebih objektif, di mana keadaan sosial masyarat Timur menutup peluang untuk Islam dilihat lebih progresif.
Lambat laun, harus ada revolusi baru kepada golongan agamawan muda negara kita: melihat kepada Eropah sebagai dunia baru pengajian Islam. Pada masa sarjana Islam Eropah dilihat lebih responsif terhadap isu-isu semasa di dunia mereka; ekonomi, sains, ketenteraan, dan lain-lain, dunia Timur seperti negara Arab, Mesir, India, dan Pakistan kelihatan semakin tidak relevan untuk pengajian Islam yang progesif. Bagaimana Islam akan dilihat sebagai penyokong kepada ekonomi, sains, dan teknologi jika anda tidak memilikinya?
Dunia Timur berbangga dengan Islam pada buku tebal dan penghafalan, dan dunia Barat mula membuatkan Islam menjadi lebih praktikal dan jelas kelihatan. Apabila Barat telah lama mengetepikan agama (Kristian), mereka kini sedang menggilap mutiara baru. Sekiranya golongan agamawan mengambil tindakan drastik pada hari ini, dengan menimba ilmu Islam di Barat, 30 tahun akan datang kita akan beroleh manfaat dari ‘ustaz yang progresif’, dengan kemahiran komunikasi bahasa global.
Dunia Barat dan Timur akan berhubung dengan lebih pantas, dan nilai-nilai baik dari orang Eropah dapat disampaikan dengan berkesan oleh golongan agamawan. Sekiranya kita masih ingin menjadikan pusat menuntut ilmu Islam dari dunia Arab dan Timur, kita akan terlepas peluang ini dengan mudah.
Kita tidak lagi dibebankan dengan golongan agamawan yang tertutup dan pasif terhadap persekitaran. Mungkin suatu hari nanti kita akan teringat, yang tafsiran matahari terbit di sebelah Barat pada akhir zaman, ada benarnya dengan kemunculan tamadun Islam baru di Barat — sekiranya kita mahu mendapatkan tafsiran lain terhadap hadis itu.
Eropah: Dunia baru pengajian Islam
Updated: May 21