top of page
Writer's pictureBen Hasan

Jawapan ringkas untuk soalan rumit

Updated: May 21

  1. Saya memulakan hidup bersoal dengan diri sendiri, tapi membesar dengan jarang bertanya. Ia sama ada disebabkan oleh ingin menjawab sendiri soalan itu, atau kecenderungan untuk hanya bertanya soalan yang orang lain belum tanya.

  2. Untuk kebanyakan perkara, orang Islam harus cuba mencari jawapan sendiri terlebih dahulu, sebelum mula bertanya. Kemudian, jawapan yang diberikan tidak pula boleh diterima bulat-bulat tanpa dinilai.

  3. Sepanjang hidup manusia biasa, tidak ada soalan yang terlalu sulit untuk tidak dijawab. Dan, tidak ada pula jawapan yang terlalu “solid” untuk tidak dinilai. Dunia Islam pula cenderung membelit-belit jawapan kepada huraian yang merumitkan, sehingga budaya “mendengar tanpa banyak bersoal” dipilih menjadi penyelesaian jangka pendek.

  4. Banyak isu dan soalan ditanya. Ia seterusnya menjadi jawapan yang tiada penghujung.

  5. Orang Islam masih keliru dengan kalimah ‘Allah’ itu milik siapa. Orang Islam di Nusantara telah berkurun lamanya membuat salah, iaitu memelayukan (atau lebih tepat lagi menjawikan) kalimah ‘Allah’. Sedangkan ‘Allah’ bermaksud ‘Tuhan’. “Sekolah”, “school”, dan “madrasah” itu membawa maksud sama. Tidaklah boleh dikatakan “sekolah” itu tempat belajar untuk Melayu, “school” untuk orang Inggeris, dan “madrasah” untuk pendidikan Arab. Lagipun, bukan semua Nabi itu berbangsa Arab. Nabi Isa tidak menyebut ‘Tuhan’ dengan kalimah ‘Allah’, sebab dia bertutur dalam Ibrani. Jika masih keliru lagi, saya bertanya, “bagaimanakah OKU berlainan bangsa yang bertutur dalam bahasa isyarat ‘menyebut’ perkataan ‘Tuhan'”? Tidakkah ia universal?

  6. Jadi, ungkapan “Tiada tuhan-tuhan lain melainkan Tuhan” lebih tepat berbanding “Tiada tuhan melainkan Allah”.

  7. Ulama berselisih faham tentang bolehkah memberi dan menjawab salam bukan Muslim. Huraiannya berpuluh muka surat. Lebih banyak dihurai, lebih luas kekeliruannya. Saya juga keliru, sehinggalah lima tahun lalu di sebuah hospital swasta seorang bukan Muslim menyapa, “Salam sejahtera”. Saya menjawabnya, “Salam sejahtera juga”. Rupanya “Assalamualaikum” itulah “Salam sejahtera”. Betapi kelirunya kita sehingga memulakan pengucapan awam dan menyampaikan berita di TV dengan “Assalamualaikum dan salam sejahtera”. Kononnya “Assalamualaikum” untuk orang Islam, dan “Salam sejahtera” untuk bukan Islam. Sedangkan, ia adalah sama. Jika seorang Inggeris menyapa, “Peace be upon you”, tiada masalah untuk menjawabnya.

  8. Sewaktu solat pun, ustaz-ustaz mengingatkan yang lafaz “usolli…” itu wajib dalam bahasa Arab, dan disusuli dengan niat dalam hati dalam bahasa sendiri. Saya pun mengikut saranan itu bertahun-tahun, sehingga satu hari terfikir “bagaimana pula dengan orang Arab?”. Sedah tentu mereka berlafaz dengan “usolli…” dan berniat dalam hati pun dengan “usolli…”

  9. Orang Islam masih bergelumang dengan masalah taksub mazhab. Saya tiada autoriti untuk menjawab. Saya cuma berkali-kali berfikir, “Apakah mazhab Nabi?”, dan “Sebelum seorang Imam mazhab ingin membuat mazhab, apakah mazhab yang sedang dianutinya?”. Mazhab itu baik dan seharusnya memudahkan urusan orang Islam. Apa yang berlaku adalah sebaliknya.

  10. Orang awam tidak patut dipersalahkan jika merawat penyakit fizikal (bukan spiritual) menggunakan ayat al-Quran. Yang patut dipersoalkan adalah ustaz-ustaz dan pengamal perubatan yang memahamkan orang awam secara salah. Ada ayat-ayat tertentu untuk sakit jantung, barah, dan lain-lain. Kalau betullah itu fungsi ayat al-Quran, maka “bagaimanakah orang yang sakit secara fizikal dirawat sebelum turunnya al-Quran?”. Tidak perlu menyeret orang awam untuk ketidakfahaman dalam ilmu biologi dan fisiologi.

  11. Dalam fekah, kita difahamkan kuantiti air yang kurang dari dua kolah tidak boleh diguna untuk mengambil wuduk. Mungkin kebanyakan kita terlepas pandang, di kawasan kering kontang Semenanjung Arab, “bagaimanakah memperoleh air sebanyak itu?”.

  12. Pada masa kini, ulama hanya mendongak dan melihat langit dua kali dalam setahun – untuk menentukan tarikh Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji. Walaupun ia boleh ditentukan dengan tepat secara matematik untuk beratus tahun akan datang, mereka tetap membuang masa mencerap kerana mereka tidak yakin. Jadi, saya bertanya, “mengapakah mereka tidak mencerap juga untuk menentukan 1 hari bulan atau 10 hari bulan untuk bulan-bulan lain?”. Jika menganggap 1 hari bulan Ramadan boleh berubah-ubah, sudah tentu 1 hari bulan untuk bulan lain juga boleh berubah. Tapi, tanpa pencerapan untuk bulan-bulan lain pun, kalendar Hijri tetap tidak pernah berubah tarikh 1 hari bulannya.

  13. Tidak memberikan jawapan itu memperlahankan kemajuan diri. Tapi, tidak bertanya itu memperlahan kemajuan diri sebanyak dua kali. Walaupun menjawab semata-mata dengan logik akal tidaklah sepenuhnya tepat, tetapi menjawab dengan tidak menggunakan logik akal langsung itu lebih berbahaya.

2 views

Recent Posts

See All

Mencari ulama yang 100% pewaris nabi

"Ulama adalah pewaris para nabi." Kenyataan ini mempunyai dasar kukuh kerana ia datangnya dari hadis yang sahih, yang tidak ada keraguan....

bottom of page