Melayu, kita – saya dan anda – sudah tidak perlu diperkenalkan lagi amat terkenal dengan keengganan untuk berfikir hal-hal rumit, kecuali bila dipaksa orang ataupun sudah menemui buntu.
Kita tidak pasti apakah sebenarnya yang menghalang kita untuk berbuat demikian – adakah memang kita ini sebegitukah ataupun kita lebih terkehadapan dengan sikap murni lain. Sikap lain itu sedikit sebanyak menutup kelemahan kita untuk berfikir dengan sedalam-dalamnya.
Putaran pemikiran ini, yang tidak berubah sekian lama, mengehadkan pola pemikiran Melayu kepada hanya corak-corak tertentu sahaja. Walaupun penyelesaikan masalah rumit memerlukan kaedah yang unik, kita tidak cenderung kepada pilihan itu. Lebih teruk lagi kalau corak pemikiran kita hanya semata-mata berbaki pemikiran yang singkat, ataupun cetek.
Pemikiran yang singkat ini sememangnya mudah dilahirkan. Ia tidak memerlukan daya upaya yang panjang dan tapisan kesan yang mendalam. Orang yang akan mempersoalkan corak pemikiran ini kelak akan berasa bingung sebab kadang-kadang secara kebetulan ia kena dengan hasilnya yang sekadar bernasib baik sahaja. Ia diburukkan lagi jika nasib baik itu dikaburi pula oleh salah tafsir pegangan agama.
Kita tidaklah perlu bersusah payah untuk mencari di ruangan mana pemikiran singkat Melayu ini kelihatan. Kegagalan Melayu dalam bab-bab tertentu sudah jelas terbukti.
Dalam abad-abad sebelum ini, dek kesusahan sosioekonomi, Melayu lebih gemar mencari jalan mudah dengan untuk mendapatkan duit lebih tanpa usaha yang setimpal. Kalau dikatakan Melayu telah diperdaya dengan skim cepat kaya, tidak banyak yang boleh dinafi. Ada jalan yang betul-betul mandatangkan hasil wang melalui perniagaan, tetapi ia jalan yang tidak mudah. Melayu tidak mahu rugi, hanya berkehendak kepada untung semata. Kalau telah rugi, harus difikirkan lebih mendalam bagaimana mahu untung semula. Inilah yang Melayu mahu elak. Apa guna jalan susah jika ada jalan singkat.
Dalam cara Melayu beragama pula, ada sebahagian perkara yang boleh dipersoal lanjut. Bukan mahu menafikan hal-hal yang baik. Tapi, di antara baik yang lebih besar dan baik yang kurang besar, yang mana satukah pertimbangan kita?
Saya berfikir, ada juga di kalangan keluarga Melayu yang menghantar salah seorang ahli keluarga di sekolah tahfiz. Ia sudah menjadi kebiasaan. Tiada salahnya. Yang menjadi salah, bila ditanya, mereka menjelas bahawa anak ini di akhirat nanti akan membawa ahli keluarga yang lain ke jalan syurga. Betul, seorang hafiz akan diberi ganjaran besar kerana memelihara Al-Qur’an. Pun begitu, ia bukanlah jalan keluar mudah kepada kita untuk menumpang pengorbanan orang lain. Berkorbanlah, dan yakinlah ganjaran setimpal dari Tuhan akan dikurniakan juga atas jalan yang berbagai-bagai.
Ada jalan yang mudah untuk memperoleh pahala yang banyak. Ibadah jenis itu hakikatnya memang banyak. Tapi, usaha-usaha yang susah juga mendatangkan pahala yang berkualiti juga. Pahala jenis ini manfaatnya bukan hanya kepada kita semata, malah kepada orang – dan alam sekeliling juga. Ia harus menjadi pilihan penting sekali.
Kita sedia terima yang pemikiran singkat atau cetek ini sentiasa ada kerana apa yang nyata, jalan susah itu sentiasa muncul. Tetapi, kalau memilih jalan yang susah itu lebih ternilai, tidak perlu lagi kita kepada pemikiran singkat ini. Jika dengan memilih jalan mudah ini memundurkan pemikiran Melayu, jalan susahnya adalah menyalahkan diri sendiri. Namun, Melayu seringkali mengambil jalan mudah – dengan menyalahkan orang lain.
Melayu dan pemikiran singkat
Updated: May 21