Sejak kekalahan maruahnya ketika PRU15, UMNO makin menebal mukanya, dan makin menipis ingatannya yang lepas. Parti yang hanya menang 26 kerusi dari keseluruhan 222 (11.76 %) patut berasa beruntung dek keengganan PN untuk bergabung bagi membentuk kerajaan perpaduan, melayakkan mereka dipelawa turut serta. Penyertaan UMNO ini sesungguhnya boleh dielak andai Melayu memberi sokongan padu kepada PH tetapi ia tidak berlaku.
Kita tidak menafikan keperluan PH untuk terpaksa bergabung dengan UMNO bagi membentuk kerajaan yang lebih kukuh, bagi membayangi kerapuhan kerajaan sebelum ini. Undi Melayu kepada UMNO kian merosot sejak PRU yang sebelumnya tetapi kehadiran mereka di persada politik masih lagi signifikan. Ia terpaksa diletakkan begitu.
Dengan jelas, rakyat telah menyampaikan mesej yang mereka telah menolak Najib. Ketika UMNO terkial-kial dalam dilema menghayun Najib ke sana ke sini, rakyat tanpa segan silu telah memberi jawapan, dengan harapan kalau UMNO masih berperangai yang sama, itulah yang bakal berlaku. Rakyat sudah tidak takut lagi untuk melayari cerita politik tanpa UMNO. Bagi mereka, tanpa UMNO, negara ada mungkinnya menjadi lebih baik.
Tetapi UMNO masih tebal mukanya dan lebih rela memalukan diri dengan permintaan pelik-pelik sejak akhir-akhir ini. Keyakinan itu bak seorang kingmaker, cuma dia tidak tahu yang dia kerdil. Yang telah berlaku sehingga kini adalah lantikan politik (juga terdapat lantikan politik di pihak PH, dan saya tetap tidak setuju).
Baru-baru ini kedengaran pula suara sumbang ingin membebaskan Najib yang masih menjalani hukumannya – melalui pengampunan diraja. Walaupun masih terlalu awal untuk diperkatakan, ia sebetulnya ditafsir sebagai cerminan apakah perkara pelik yang bakal dipinta oleh UMNO sehingga meletakkan PM dalam keadaan tersepit.
Melayu UMNO telah lupa, yang isu Najib itulah mendorong rakyat menolak UMNO bulat-bulat sehingga saki baki kerusi yang tinggal itu adalah kerusi yang biasa dimenangi. Bila-bila masa sahaja ia boleh berubah tuan.
Sejak beberapa puluh tahun kebelakangan ini, UMNO telah menjadi duri dalam daging kepada negara. Kita akui yang kita telah membazirkan banyak masa untuk membentuk kerajaan yang bebas rasuah dan lebih kompeten, seterusnya membawa negara ke arah lebih bertamadun.
Ujian seterusnya adalah perebutan kerusi ketika PRN di beberapa negeri. Mungkinkah akan ada permintaan untuk menambah kerusi atau menukar kerusi mudah kepada UMNO? Ramai pemerhati berharap apa pun yang dibincang antara komponen kerajaan perpaduan, janganlah pula sehingga lupa tujuan asal kerajaan perpaduan ini tertubuh. Jika tidak, ia tidak lagi menjadi perpaduan.
Selain dari lantikan politik, usaha membebaskan Najib, saya kira isu lain yang mungkin meretakkan hubungan adalah agama, kaum dan hal PRU akan datang. Saban tahun, UMNO sudah lama tidak menikmati laba dari negeri-negeri utama. Dengan DAP pula belum lagi dilihat berkelahi (diharap ia kekal begitu). UMNO perlu sentiasa diingatkan yang dia sudah tidak lagi berkuasa seperti sebelum ini. Belajarlah bersyukur tidak duduk di sebelah Bersatu dan PAS.
Janganlah pula Melayu dalam UMNO menjadi mudah lupa. Sebenarnya masih ramai lagi Melayu di luar sana yang tidak mudah lupa.
Melayu UMNO mudah lupa
Updated: May 21, 2024