top of page
Writer's pictureBen Hasan

Mencari ulama yang 100% pewaris nabi

Updated: Nov 27


"Ulama adalah pewaris para nabi." Kenyataan ini mempunyai dasar kukuh kerana ia datangnya dari hadis yang sahih, yang tidak ada keraguan. Perkataan 'waris' bererti apabila orang yang mewariskan telah tiada, sesuatu itu akan diperturunkan kepada pewaris. Hadis ini jelas memberitahu bahawa ulama itu mewarisi agama dari para nabi.


Bukan orang sembarangan yang layak mendakwa dia pewaris. Orang kebanyakan - seperti saya umpamanya - malu mengaku pewaris. Namun, jauh dari sudut fikir, semua orang tetap mahukan warisan agama ini sebagai pedoman hidup saban hari. Oleh sebab kita sudah tidak boleh berjumpa nabi, maka pilihan yang kita ada adalah bergantung harap kepada pewaris - iaitu ulama.


Lantaran apa yang diwariskan itu? Agama ini telah lengkap sejak berkurun lamanya. Semua aspek dalam agama ini diperturunkan dari generasi awal sehingga generasi terkini dek peranan penting para ulama. Sekiranya tiadak ada - biarpun satu generasi senipis 10 tahun - sebilangan ulama yang meneruskan warisan ini, ataupun kalau ada situasai lain, iaitu adanya ulama yang tidak berperanan, maka warisan ini akan terputus. Putaran terputus ini akan semakin membesar sehingga kualiti agama asli ini berkemungkinan hilang.


Jadi, oleh kerana perkara sedemikian harus dielak dengan apa cara sekalipun, maka kualiti orang yang mewarisi itu sama penting dengan isi yang diwarisi. Hal ini kerana isi yang diwarisi itu pada dasarnya sudah lengkap, asli, dan menyeluruh. Orang tidak akan sama sekali mempersoal isi warisan itu. Maka, yang tinggal untuk diambil kira adalah pewaris itu.


Secara umumnya, sesiapapun tidak mahu mewarisi sesuatu kepada pewaris yang berkemungkinan kurang kredibiliti. Prinsip umum ini termasuklah apabila melibatkan urusan harian kita.


Sebahagian aspek dari karakter pewaris boleh dilihat dengan lebih teliti berdasarkan sifat apakah yang terlebih dahulu diwaris dari pewaris, sebelum diambil kira apa yang diwarisi itu.


Umum bersetuju yang karakter atau sifat para nabi adalah jujur, boleh dipercayai, menyampaikan, dan bijaksana. Semua itu adalah kualiti karakter yang ada pada para nabi, yang membolehkan agama disampai dengan berkesan - biarpun hanya dengan panampilan peribadi. Apabila nabi memberitahu kita bahawa ulama adalah pawaris, sudah tentu apa yang ingin disampaikan nabi adalah empat kualiti atau karakter tersebut diharap untuk turut diwarisi.


Dari keempat-empat kualiti itu, sudah tentu kalau dapat mewarisi kesemuanya (100%), adalah paling baik dan paling layak untuk menjadi pewaris, dan dengan mengambil kira 0% adalah amat mustahil, maka kualiti karakter yang manakah paling mudah didapati di kalangan ulama masa kini?


Saya secara peribadi perpandangan hierarki kualiti atau karakter yang empat itu (jujur, boleh dipercayai, menyampaikan, dan bijaksana) boleh disusun mengikut apa yang paling mudah, dan apa yang paling susah untuk diaplikasi.



Paling mudah


Sifat atau karakter menyampaikan adalah yang kebanyakkannya ditemui pada semua ulama. Ini adalah tugas paling asas. Sekiranya kualiti ini tidak ada, maka baki tiga lagi kualiti tidak memadai untuk diangkat sebagai ulama pewaris nabi.


Dalam bahasa yang ringkas, boleh dikatakan semua ulama harus ada karakter menyampaikan. Ia bermaksud isi, bahasa, kemahiran komunikasi, mengenalpasti audien, mendengar maklum balas, adalah dalam ruang lingkup kualiti ini.


Menyampaikan juga melibatkan kaedah yang pelbagai, yang sesuai sepanjang masa. Ia tidak hanya bergantung kepada komunikasi verbal semata-mata, tetapi turut meliputi medium lain yang sama penting - menulis, berkarya, dan lain-lain. Dalam kebanyakan masa, nabi menyampaikan mesej Al-Qur'an dan hadis, tetapi nabi juga - dalam hal-hal lain - berkomunikasi dengan pemimpin negara, memberi arahan strategi perang, berinteraksi dalam perniagaan dan sebaginya.


Kita sering merungut yang agama itu seharusnya menyeluruh. Jadi, ini adalah peluang paling mudah untuk menunjukkan bahawa mempelbagai kaedah menyampaikan agama bukanlah mustahil.


Sekiranya kualiti ini telah dikuasai oleh ulama - dan ia sepatutnya dilabel tahap minimum - maka ia telah mewarisi sekurang-kurangnya 25% dari kualiti atau karakter nabi.


Jika ada ulama yang tidak menyampaikan, maka dia bukanlah pewaris.



Pertengahan


Dua lagi kualiti karakter - iaitu jujur dan boleh dipercayai - akan membezakan apa yang disampai ulama itu tulen atau tidak. Oleh kerana apa yang disampai itu (iaitu agama) dari awal lagi kita percaya ia tulen tanpa dipertikai, maka yang tinggal untuk ditanya, adalah orang yang menyampaikan - sama ada ia tulen atau tidak.


Karakter pertengahan ini sedikit mencabar kerana hierarki keseluruhan karakter sudah mencapai peringkat tengah. Segala isi yang disampai akan sedikit demi sedikit dipertikai andai orang yang berkata itu tidak jujur atau tidak boleh dipercayai. Dia mesti buat dahulu apa yang dia ingin sampaikan itu, sehingga orang umum tiada masalah untuk mengikut. Kalau apa yang dia katakan itu tidak betul, apa perlunya orang lain juga menjadi tidak betul.


Perkara paling mustahak tentang kejujuran adalah apabila berhadapan dengan kebenaran yang tidak berpihak kepada apa yang selama ini dia buat. Adalah penting bagi ulama untuk jujur secara konsisten - dengan bercakap benar meskipun kebenaran itu akhirnya disampaikan oleh mulut orang lain, mahupun dari kalangan orang lain yang dia tidak suka.


Bercakap benar selama satu hari adalah mudah. Yang lebih susahnya, adalah bercakap benar untuk hari-hari mendatang - kepada orang berbeza, dalam situasi berbeza. Jujur yang paling utama adalah bercakap benar tentang nabi. Jangan sesekali menyampaikan apa yang nabi tidak sebut. Inilah yang masih didapati di kalangan ulama. Jika menyampai apa yang tidak ada dalam hadis nabi, maka dia sudah menjadi tidak jujur. Malah, dengan berdiam diri ketika kesalahan itu dilakukan sesetengah ulama lain juga sudah boleh dianggap tidak jujur.


Kemungkinan lain yang boleh menjadi lebih buruk, adalah tidak amanah - dalam erti lain, tidak boleh dipercayai. Sistem sosial manusia yang semakin kompleks membuka laluan kepada keterlibatan ulama dalam aspek sosial, termasuk melibatkan diri dalam hal pentadbiran negeri atau negara - secara mudahnya: politik.


Isu politik seharian mendesak orang politik untuk bertindak balas. Tindak balas itu - sedikit atau banyak - diperhati dan dinilai oleh orang awam yang memilih mereka. Ulama yang menjadi ahli politik - harus lebih kelihatan mewarisi cara nabi berpolitik. Cara politik nabi adalah cara yang boleh dipercayai - oleh kawan dan lawan.


Ulama yang menjadi ahli politik, haruslah berpolitik sehingga dia diletakkan sebagai ahli politik yang boleh dipercayai. Begitulah halnya dalam aspek lain yang ulama terlibat. Hanya kerana dia tidak mahu dinilai, dia tidak boleh kata dia tidak mahu terlibat langsung dengan apa-apa urusan awam.


Ulama yang ada kualiti menyampaikan, jujur, dan boleh dipercayai sudah mencapai 50% - 75% dari kualiti atau karakter nabi.


Jika ada ulama yang tidak jujur dan tidak boleh dipercayai, maka dia bukanlah pewaris.



Paling susah


Karakter yang terakhir - bijaksana - ini adalah yang paling susah. Seseorang boleh secara semulajadinya menjadi penyampai yang baik, boleh dipaksa bersikap jujur, dan boleh dilatih sehingga menjadi boleh dipercayai. Tetapi, untuk menjadi bijaksana, ia tidak mudah, malah makan masa bertahun. Ia bukan boleh dibuat-buat untuk menjadikannya kelihatan bijak dengan sekilas pandang.


Sejarah nabi menjadi bukti kebijaksanaan baginda dalam menjalani hidup bersama masyarakat. Berikut adalah sebilangan contoh kemahiran berfikir yang boleh dikait:


  • penyelesaian secara adil di luar kotak (pertelingkahan meletakkan batu hajrul aswad )

  • berpandangan jauh (perjanjian Hudaybiyyah yang dikatakan berat sebelah)

  • visi politik yang adil (penubuhan Piagam Madinah)

  • menerima penyelesaian inovatif (menggali parit sebagai strategi perang)

  • hubungan diplomatik (mengutus surat kepada pemimpin dan raja)

  • strategis (menebus tahanan perang untuk mendidik masyarakat)


Kalau kita perhatikan betul-betul, kesemua contoh di atas pada mulanya adalah satu masalah setempat yang timbul dan tidak ada satu pun contoh penyelesaian itu melibatkan mukjizat (menurut pemahaman secara literal). Ia bermaksud, setiap satu masalah di atas itu boleh diselesai oleh manusia dengan satu cara - berfikir.


Amat mustahil untuk kita replicate kes-kes yang berlaku pada masa nabi itu, dan mencontohi bulat-bulat apa yang dilakukan nabi semata-mata mahu menjunjukkan yang kita boleh menyelesaikan masalah dengan bijaksana. Pun begitu, masalah setiap zaman adalah berbeza. Maka, cara kita menyelesaikan pun sudah pasti lain. Demikianlah hukum alam.


Karakter nabi yang baginda warisi - yang sering kita terlepas pandang adalah menjadi seorang penyelesai masalah. Masalah sudah pasti akan timbul di kalangan masyarakat kita ini. Alangkah bertuah jika ulama kita pun menjadi penyelesai masalah - di mana dia bukanlah semata-mata menjadi penyampai.


Sayangnya - dan saya amat berat untuk menyebut - yang kualiti sebagai creative problem solver yang bijaksanana ini lebih banyak saya dapati di luar kalangan ulama.


Ulama yang ada kualiti menyampaikan, jujur, dan boleh dipercayai, dan seorang creative problem solver yang bijaksana sudah mencapai 100% dari kualiti atau karakter nabi.


Jika ada ulama yang tidak bijaksana, maka dia bukanlah pewaris.
















9 views

Recent Posts

See All
bottom of page