Dengan mengambil iktibar agung dari peristiwa hijrah, ramai dari kalangan kita yang berhasrat menjadikan hijrah itu suatu kemestian dalam hidup - hijrah fizikal, spiritual, pemikiran dan lain lagi.
Jiwa kecil kita hari ini ingin menjadi sebahagian dari susuk orang yang berhijrah. Kita lepaskan apa yang ada di tangan untuk menerima perubahan yang lebih baik selepas hijrah.
Orang-orang yang berhijrah telah melakukan pengorbanan besar, dengan mengenepikan hasrat peribadi yang lebih kecil. Maka, dengan mengambil semangat mereka, kebanyakan kita bersungguh-sungguh meletakkan azam untuk berubah kepada hidup yang lebih baik.
Itu adalah separuh komponen hijrah - iaitu orang yang berhijrah (dikenali sebagai muhajirin). Separuh lagi komponen yang turut menjayakan hijrah adalah kumpulan orang yang memudahcara (dikenali sebagai ansar).
Orang-orang ansar itu telah membantu orang yang berhijrah, malah sebenarnya mereka bersedia dari segi mental bagi menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan yang bakal dibawa oleh Nabi Muhammad kelak.
Selain menerima agama Islam, mereka juga menerima tatacara baru dari segi pentadbiran, komunikasi, interaksi sosial, ekonomi dan lain-lain yang agak lain berbanding apa yang mereka biasa lalui seharian sebelum ini. Ini adalah perubahan atau reformasi yang berlaku dalam masyarakat di Madinah biarpun berlatar belakang yang berbeza.
Oleh itu, setiap dari kita wajarlah meminjam juga semangat orang ansar ini, seperti sebanyak mana kita bersemangatkan orang muhajirin. Barulah lengkap komponen hijrah kita.
Bagi menjayakan perubahan atau reformasi, maka kita wajar berfikiran seperti orang ansar juga - iaitu dengan bersedia dari segi mental, fizikal, apa apa jua yang dituntut bagi sebuah perubahan yang dibawa orang luar, yang selalunya di luar dari kepompong kita. Sebarang perubahan atau reformasi tidak akan berjaya jika kita tidak bersedia dan berlapang dada.
Selepas peristiwa hijrah, orang-orang Madinah tidak dituntut untuk berjalan jauh dan belajar bagaimana sosioekonomi orang Mekah. Tetapi, dengan berlakunya hijrah mereka boleh berpeluang menyesuaikan diri dengan tatacara orang Mekah di tempat sendiri.
Melakukan reformasi pemikiran secara kendiri - sepertinya orang muhajirin - dan bersedia menyesuaikan diri dengan reformasi - bak orang ansar - adalah salah satu tanda kita mengambil pengajaran dari peristiwa hijrah.
Meraikan hijrah dari perspektif 'ansar'
Updated: Aug 22