Ahli falsafah terkenal, Friedrich Nietzsche pernah menyebut: “Whoever fights monsters should see to it that in the process he does not become a monster.”
Kita telah digemparkan dengan berita penyelewengan ratusan juta oleh pemimpin Perikatan Nasional (PN) konon atas nama perjuangan membela Melayu. Setelah disiasat lanjut, didapati ia memang bukan di luar jangkaan. Sokongan Melayu di luar bandar yang mendongak naik boleh dikatakan dipengaruhi oleh faktor ini. Beberapa video dan kenyataan rasuah undi yang tersebar sejurus PRU menjadikan spekulasi ini sukar dinafi.
Ketika kempen PRU, PN sangat sibuk menjaja yang mereka adalah pengganti UMNO dan bakal menjadi pilihan kebanyakan orang Melayu. Pada awalnya, sentimen ini tidak diendahkan oleh Pakatan Harapan (ya, ia satu kesilapan besar yang harus diteladani kelak). Pada PH, mana mungkin parti yang baru berusia 7 tahun berhasrat besar mahu menjadi kapal orang Melayu. Ditambah pula kemenangan kerusi signifikan ahli gabungannya, Bersatu, adalah hasil kerjasama dengan PH, jika pun ingin meletakkan di tepi pengaruh Tun Mahathir.
Kata mereka, UMNO (dan PH) tidak bersih. Malah, walaupun ketika PH memerintah selama 22 bulan, ada juga kes-kes tertentu oleh PH yang memberanikan PN mengguna jenama ‘bersih’. Tidak pernah ada dalam sejarah kempen PRU di negara ini begitu yakin mengungkap bersih. Oleh sebab ini adalah pertandingan, maka mesej yang jelas adalah: sesungguhnya pihak lawan tidak bersih.
Dalam tidak sedar, ketika berkempen hal bersih-bersih, cara PN adalah dengan menghulur wang mengharapkan undi orang Melayu berpihak kepada mereka. Sudahlah ketika memerintah, mereka tidak begitu menonjolkan kualiti. Ketika ingin mendapatkan kuasa semula, mereka telah pun mengikuti jejak UMNO satu ketika dahulu.
Ini kebetulan pula UMNO sudah kurang berupaya menabur habuan, sekurang-kurangnya kalau dibanding ketika zaman Najib menjadi ketua. Kita harap, berita tabur-menabur ini sudah boleh ditanggal dari akhbar. Rupa-rupanya raksasa lama diganti raksasa baru. Selangkah demi selangkah, PN memperlaku apa yang mereka konon benci.
Ketika ini, Muhyiddin berdepan dengan pertuduhan dan disoal SPRM. Beliah masih boleh membela diri dan baguslah bagi PN jika pertuduhan ini tidak benar. Namun, melihat corak kempen semasa PRU dan akaun parti, segala-galanya masih mungkin. Sekutu mereka, PAS pun sudah terkena tempias. Tidak banyak yang boleh dijawab. Lebih baik tutup mulut, kalaupun tidak lari.
Yang salah tetap salah dan perlu didakwa menurut undang-undang. Ini satu penerimaan umum termasuk kepada PH. Sesiapapun tidak mengawal undang-undang sebab ia adalah sebaliknya. Janganlah bermimpi ingin bermegah, kelak ditakuti menjadi ‘monster’. Kononnya ingin ditakuti si kerdil, tapi dalam tidak sedar, dibenci sebab rupa.
Dalam mendepani politik yang serba berseni ini, orang Melayu patut mula sedar dengan melihat di hadapan. Tidak perlu membuka mata luas-luas sebab tubuh raksasa sememangnya besar. Kalaupun tidak boleh melihat, adakah Melayu tidak boleh mendengar langkahnya?
Pesan Nietzsche
Updated: Mar 21, 2024