Satu masa dahulu, bila laut menjadi laluan utama antara negara, sungai pula menjadi laluan antara perkampungan kecil. Maka, kuala menjadi pintu masuk kepada pedagang dan orang awam.
Hari ini, lebuh raya ibarat jalan laut dan laluan keluar ke bandar utama boleh dianggap sebagai kuala.
Selepas beberapa kali ke negeri bersejarah Melaka, saya fikir tawaran pembangunan yang berlaku di sepanjang Ayer Keroh, selepas tol hingga ke Banda Hilir adalah berbaloi untuk diusahakan di tempat lain yang berpotensi. Dan salah satunya adalah Alor Setar.
Sudah sampai masa ia mempunyai pintu masuk, atau “kuala” baru – sebagai pengganti kepada “exit” Alor Setar Utara. Saya fikir “exit” Kepala Batas berpotensi menjadi pintu masuk baru. Ia hampir 4km lebih jauh dari “exit” Alor Setar Utara.
Hal ini disebabkan beberapa alasan yang difikirkan logik dan berbaloi, di samping membantu pembangunan Kedah.
Selepas “exit” Kepala Batas, dengan keperluan sebuah “flyover” baru, ia akan terus membawa ke jalan utama yang menempatkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim. Seterusnya ia akan membawa kepada pusat pentadbiran baru, Istana Anak Bukit, hospital swasta terbesar di Kedah, pejabat menteri besar, pusat rekreasi tertua di Alor Setar (Taman Rimba) dan lain-lain. Di sepanjang laluan utama seperti Ayer Keroh ini, saya membayangkan pembangunan yang lebih pesat. Mungkin satu hari nanti, sebuah terminal bas utama harus dibina bersebelahan lapangan terbang, menggantikan Shahab Perdana.
Selepas simpang empat utama (selepas pejabat menteri besar), laluan masuk baru ini seterusnya akan membawa ke stadium, muzium, menara Alor Setar, dan Masjid Zahir. Ia membawa ke penghujung yang menempatkan Pekan Cina dan Pekan Melayu – seperti apa yang Ayer Keroh membawa anda ke Banda Hilir.
Pekan Cina dan Pekan Melayu harus dicorakkan semula seperti Jonker Walk di Banda Hilir.
Dengan semua ini, ditambah pula dengan kesesakan yang tidak produktif di simpang empat selepas tol Alor Setar Utara, pemansuhan tol ini bakal menjadi sebahagian dari penyelesaian jangka masa panjang.
Saya cuba mengelak dari memikirkan idea yang mustahil dan sukar diterima. Tetapi hasil luar biasa pada hari ini, bermula dari idea yang mustahil 20 atau 30 tahun yang lalu.
Pintu masuk baru ke Alor Setar
Updated: May 21