Biasanya dalam menyelesaikan sesuatu masalah, apabila kita sudah sampai di tahap buntu, kita akan kembali menyemak titik permulaan bagi mencari idea baru, yang kemungkinan bakal menjadi pencetus baru kepada penyelesaikan masalah itu. Ketika kembali ke titik asal, kita bermula dengan kosong.
Saya ingin meminjam - dengan kadar yang sangat berhati-hati - konsep tabula rasa, dengan memikirkan adakah ia suatu keperluan asas bagi permulaan pambaharuan atau tajdid dalam agama. Oleh kerana pembaharuan dalam agama ini telah berlaku dan akan berlaku mengikut keperluan semasa, maka setiap pembaharuan harus mesti bermula dengan sesuatu - iaitu dengan 'blank slate'.
Konsep ini bukanlah suatu yang baru. Ketika kebanyakan dari pemikir mengaitkan tabula rasa dengan pemilkir Inggeris abad ke-17, John Locke, konsep ini sebenarnya tidak terlalu asing bagi ahli falsafah Greek, Aristotle dan juga Ibnu Sina. Selain itu, tokoh penting lain seperti Thomas Hobbes, David Hume, dan Immanuel Kant turut sama menyumbang sedikit sebanyak mencambah pemahaman konsep ini.
Ada sesetengah perkara dalam agama ini perlu disemak dan ditafsir semula mengikut pemahaman kita yang paling baharu. Ia tidak bermaksud yang kita ingin ia selari, dan sentiasa selari, dengan kehendak pihak tertentu. Apabila sesuatu tafsiran itu sudah tepu dengan keperluan umum, kita berterima kasih kerana itulah titik permulaan.
Saya fikir adakah sudah menjadi keperluan untuk agamawan mengambil kira seterusnya mengadaptasi konsep tabula rasa sekiranya mereka berminat untuk membawa pambaharuan. Dan apabila menyebut tentang pambaharuan, perlunya mereka mengehad sumber rujukan yang lama - dan sudah tentu ia terkecuali kepada dua sumber asas iaitu al-Quran dan hadis.
Saya berpendapat tabula rasa amat signifikan untuk melahirkan cara fikir baru yang lebih segar, menstruktur semula pemikiran, dan juga mamungkinkan adaptasi kepada bentuk aliran yang terkini. Semua ini akan menjadi lambat untuk dilaksana jika agamawan masih terperangkap dengan cara fikir dan tafsiran yang tepu.
Tafsiran dan idea sebelum ini hanyalah membantu setakat perkembangan sebelum ini. Ia amat berkesan, cuma pada ketika itu. Masalah baru yang lebih berselirat memerlukan penyelesaian baru yang lebih kreatif.
Dengan kata lain, cycle of truth atau loop of reasoning sepatutnya hanya dalam lingkungan sepuluh tahun, seperti yang diamal dalam dunia akademik. Umumnya, para pengkaji amatlah digalakkkan - malah dalam sesetengah amalan, ia menjadi mandatori - untuk hanya merujuk kepada kajian terbaru dalam lingkungan sepuluh tahun terkini.
Proses ijtihad dalam agama diharapnya lebih menyumbang kepada masyarakat umum berbanding hanya berlegar dalam lingkungan perbincangan agamawan. Ia pasti boleh berhasil jika konsep tabula rasa dipinjam - dan sudah tentu dengan pendekatan yang berhati-hati.
Dengan ini, agama dan tafsiran tertentu tidak lagi menjadi terasing dalam kehidupan seharian.