Kita tidak perlu berfikir lama, tentang apakah kemungkinan akibat dari salah tafsir atau salah faham. Kadang-kadang, tidak mentafsirkan sesuatu itu masih lebih baik dari mentafsirkan sesuatu yang salah.
Halatuju pemahaman kita terhadap sesuatu perkara bergantung kepada bagaimana kita sendiri memberi erti. Kebanyakan ia sudah tersedia. Tapi, ia tetap gagal memberi makna utuh.
Dalam banyak-banyak perkara, saya berpandangan istilah yang kebanyakan dari kita pegang tentang ‘ulama’ tidaklah begitu menyeluruh. Kesilapan mula-mula kita dengan merujuk ilmu itu semata-mata ilmu agama mengakibatkan pemahaman kita terhadap istilah ‘ulama' sudah terpesong.
Sebetulnya, para cendekiawan dan para ahli akademik, pakar-pakar profesional juga patut diletak sebahagian dari ulama. Tiada sesiapa pun yang berhak memisahkan di antara ahli ilmu agama dan ahli ilmu bukan agama. Pemisahan yang kita anggap remeh ini akhirnya membuka kepada luasnya jurang lain yang tak sepatutnya wujud.
Bangsa Melayu menjadi begitu patuh sekiranya dia mengikuti apa-apa yang diperkatakan oleh ulama. Bahkan, kita terus tidak pernah mempersoal. Ia sudah tentu sikap yang murni sekali. Dengan syarat, kita tidak mengikutinya membuta tuli.
Sedangkan kita tidak ambil endah terhadap ulama yang satu lagi. Misal yang mudah dan berlaku hari-hari adalah, apa yang ‘difatwakan’ oleh ulama kedoktoran, ulama undang-undang jalan raya, dan ramai lagi ulama lain tidaklah diambil dengan serius.
Maka, dalam institusi sosial yang kita sendiri membina jurang ini, tidak ada apa pun perubahan efektif meskipun ulama-ulama yang dipinggirkan oleh kita sendiri ini bertungkus lumus memberi kita pengetahuan yang jelas berlapikkan fakta.
Apa yang ironinya, tafsiran istilah ulama ini harus datang dan berpunca dari ulama agama sendiri. Salah faham ini harus diperbetulkan oleh mereka. Ini kerana kononnya, Melayu hanya akan berpegang kuat dengan apa yang keluar dari mulut mereka.
Mereka yang memberi tafsirah salah, dan giliran mereka juga untuk memperbetulkannya.
Meluaskan tafsiran semula istilah “Ulama”
Updated: Aug 20