top of page
Writer's pictureBen Hasan

Tanpa arak, Melayu pun sama mabuk

Updated: Sep 19

Melayu yang kita kenal hari ini tidak akan sama sekali minum arak. Malah kita cepat-cepat memalingkan muka walaupun tertengok bahagian di kedai yang menjual arak. Sejahat mana pun Melayu, kalau arak itu pilihan terakhir untuk dia minum bagi mengelak mati, dia tidak akan minum juga. Hal ini disebabkan apa pun terjadi, dia tidak mahu sama sekali mabuk. Dia bertanggungjawab atas apa yang dia buat kalau dia mabuk.


Dia pun marah kalau ada orang lain minum arak. Dia tidak boleh terima kerana arak itu selain menghilangkan kewarasan akal, arak boleh mengakibat orang itu bertindak di luar jangka. Daripada membiarkan seseorang itu bertindak di luar jangka, tindakan di luar jangka yang mula-mula sekali adalah minum arak. Begitulah bagaimana Melayu melihat arak. Amat bagus sekali hal itu dan sememangnya boleh dipuji. Maka wajarlah dirai bagaimana Islam mendidik Melayu dalam hal ini selama beratus tahun.


Sesungguhnya boleh dianggap dalam hal ini Melayu tidak pernah mabuk sama sekali. Matematiknya mudah, tidak ada arak di tangan Melayu, maka tidak adalah mabuk pada akal Melayu. Demikian sifir kita.


Bukan hanya meminum, malah apa yang diajar dalam hadis - setiap peringkat yang terlibat bermula dari proses awal membuat, menghantar, menjual, mempromosi, mengira duit jual beli arak, dan seumpamanya - termasuklah dalam hal yang dilarang. Ini yang kita faham dari hadis. Melayu tidak berani walau sedikit pun. Dia sudah tidak peduli lagi walaupun mendatangkan hasil lumayan.


Pun begitu, ada banyak perkara yang memabukkan Melayu, dan ia bukanlah arak. Tangan, fikiran, kaki, dan hati Melayu masih berselirat di sekeliling benda yang memabukkan ini - dan ia bukanlah arak. Jadi, oleh kerana ia bukanlah arak, maka Melayu menjadi kurang takut atau tidak takut langsung.



Mabuk tangan


Melayu zaman sekarang tahu yang berkuasa itu penting. Dia hendak berkuasa atau sekurang-kurang duduk di bawah orang berkuasa. Baginya, dia tidak lagi dianggap lemah oleh orang lain kalau sudah ada kuasa. Dia sanggup berhabis apa sahaja upaya yang ada di tangan bahkah melepaskan yang sedia ada, andai dia nampak sebentuk kuasa lain yang lebih besar. Oleh kerana kuasa itu sifatnya relatif dan tidak boleh dihitung, maka jalan Melayu ke arah itu jaranglah terhenti.


Kuasa yang sedia ada itu kadang-kadang sudah cukup. Tetapi, dia mahu lebih lagi. Ia termasuklah kuasa yang bukan ditakdirkan untuknya. Lebih banyak kuasa, lebih banyaklah apa yang dia boleh buat sepuas hatinya. Ia amatlah salah, sehingga terjadilah pula suatu yang kita kenal selama ini sebagai salah guna kuasa. Tidak berkehendakkan kuasa itu asalnya salah. Mana mungkin kita tidak mahu langsung. Kemudian, setelah dia dapat merasai manisnya kuasa, dia mahukan lebih lagi. Itu sudah separa salah. Yang lebih memburuk, dia akhirnya menyalahguna kuasa. Ia amatlah salah sepenuhnya.


Maka terjadilah pecah amanah, rasuah, ketirisan di sana sini, lobi-melobi, mendedah aib, dan sebagainya. Sejak Melayu bekuasa dalam politik, Melayu sudah kenal bagaimana wang itu boleh bertukar beli dengan harga maruah. Bagi kebanyakan orang-orang atas, wang adalah kuasa. Kuasa tidak boleh dihitung dengan jelas. Akan tetapi, kalau dikatakan wang tu adalah kuasa, maka sudah menjadi mudah bagaimana mahu mengira kuasa.


Melayu, di takah paling bawah hinggalah paling atas, punyai wang. Wang itu tidak sama sekali diguna untuk membeli arak. Jadi, Melayu tidak pernah mabuk dengan arak. Wang itu sahaja sudah memabukkan Melayu. Sepatutnya, kuasa yang ada ini melemahkan kemabukan kita dengan wang. Tetapi sayangnya kuasa itu pula yang buat Melayu mabuk. Tangan adalah kuasa, jadi Melayu pun selalu mabuk tangan.



Mabuk akal


Melayu terkenal dengan kisah dongeng. Dia suka dengar kisah-kisah yang dicerita orang turun-temurun. Di antara kisah-kisah itu, adalah kisah dongeng dahulu kala. Dia tahu cerita itu rekaan dan tidak betul. Sesiapapun yang tanya, dia dengan yakin boleh jawab itu adalah kisah rekaan sahaja. Tidak rugi baginya orang untuk bercerita, tidak untung pula bagi dia untuk sekadar dengar. Hal ini disebabkan di pernghujung kisah dongeng itu, ada diselit sedikit pengajaran. Pengajaran itu sifatnya mendidik, dan ia amat mudah diterima kalau itu 'dikisah-dongengkan'. Melayu suka kerana ia mudah. Melayu lebih suka kerana ia 'dikisah-dongengkan'.


Kalau pengajaran itu betul tetapi ia bukan cerita dongeng, barangkali susah sedikit untuk melekat lama dalam akal. Ia berlarutan sehinggakan akhirnya kalau cerita itu ada pengajaran, maka perlulah sedikit 'dikisah-dongengkan'. Kalau tidak, ia tidak sedap didengar, justeru tidak mengkhayalkan.


Salahkah Melayu mendengar dan kemudian menceritakan kisah dongeng itu? Sudah tentu tidak salah. Yang salahnya, semua kisah hendak 'didongengkan' - sehingga dia terlupa pengajaran yang lebih utama itu. Cerita yang tidak ada, menjadi ada, dan kemudian ditokok tambah. Bagi Melayu, ia tidak mengapa kerana bukannya dosa pun. Tidak mengapa jika ia diluar dari kotak fikiran dan logik akal kerana dari awal-awal lagi ditekan yang ini 'hanyalah sebuah kisah dongeng'.


Kisah itu diceritakan tanpa sempadan, sehinggakan apabila Melayu dahulu mula berjinak dengan ilmu lebih luas, dia anggap juga apa yang tidak pernah teroka sebelum ini, harus dianggap dongeng juga. Ada sesetengahnya, sebahagian ilmu sains juga telah menjadi dongeng.


Tambahan lagi, apabila Melayu tahu yang kisah dongeng ini disampaikan sejak turun-temurun, dia sudah letih untuk kesan dari manakah bermulanya cerita itu - atau soalan yang lebih tepat: siapakah yang mula-mula mereka kisah itu?


Soalan itu belum cukup besar kerana hal yang lebih besar datang selepas itu - iaitu apabila Islam datang untuk merasionalkan pemikiran, maka terdapatlah pula langkah songsang sesetengah Melayu untuk menokok tambah sumber asal agama dengan kisah dongeng sendiri. Hal ini lebih menonjol dan lebih melibatkan sumber kedua terbesar agama iaitu hadis. Seperti hal budaya penerimaan Melayu dengan kisah dongeng tadi, bagi dia tidak mengapalah menceritakan hadis palsu kerana di dalam hadis itu juga terdapat pengajaran baik. Bagi Melayu, pengajaran baik itu lebih utama berbanding kisah hadis itu.


Generasi demi generasi, Melayu makin berkhayal dengan hadis palsu, sehingga akhirnya menjadi mabuk dan ketagih. Ia seolah-olah agama ini tidak ada sumber yang asal lagi sahih. Maka, berbondong-bondonglah penglipur lara hadis palsu ini bercerita tanpa segan situ beratus malah beribu hal-hal palsu. Lebih tidak segan, seperti halnya dengan kisah dongeng tadi, dia memperkenalkan dengan mengatakan "ini adalah hadis palsu atau lemah, tetapi masih boleh diambil pelajaran terhadapnya." Ia berlarutan sehinggalah menyampaikan hadis palsu (baca: kisah dongeng dalam agama) tidak lagi dianggap aneh.


Apabila agama datang untuk meluruskan kisah dongeng sedia ada dalam budaya Melayu, Melayu manjadikan sumber agama itu sedikit dongeng. Yang hendak dibetul itu belum dilurus, malah yang hendak membetulkan pula dibengkok.


Melayu tidak pernah menulis dan tidak pernah mendengar kisah dongeng tentang arak. Melayu tidak tahu cara mabuk. Tetapi, dengan terus bercerita tentang hal dongeng agama ini, Melayu terus-menerus menjadi mabuk. Melayu suka sangat duduk di tepi radio dan di tepi tangga masjid mendengar cerita dongeng sebegitu. Rasional dan logik itu berkait dengan akal. Jadi, Melayu pun selalu mabuk akal.



Mabuk muka


Orang sanggup mati kerana tidak mahu dikenali. Ada orang pula dalam hidupnya, dia mahu semata-mata dikenali. Orang lain tidak tahu dia hidup kalau dia tidak dikenali. Jadi, dengan apa cara sekalipun, dia mahu orang kenal apa yang boleh dikait dengan dia.


Menjadi dikenali dengan pantas sudah tentu lebih teruja berbanding dikenali dengan lambat. Dengan pantasnya hidup hari ini dek adanya internet, sesetengah Melayu mahu menjadi terkenal dengan pantasnya. Seberapa banyak pun cabaran, dia akhirnya mahu menjadi popular di mata semua orang.


Mabuk ini paling dahsyat kerana dia tidak kisah malah sanggup terlebih dahulu mabuk tangan dan mabuk akal, semata-mata mahu mencapai mabuk muka, sebab dia mahu cepat-cepat dikenali. Dia tidak senang duduk jika ada orang di sebelah dia lebih dikenali berbanding dia.


Di mana mahu mencari Melayu sebegini? Sebenarnya, tidak susah pun. Dengan bermacam-macam jalan untuk meraih perhatian orang, dia tidak lagi segan silu bercerita apa sahaja di media sosial, asalkan maksudnya tercapai. Apa yang sesetengah Melayu lain segan untuk buat, dia sanggup buat malah berasa girang setelah orang lain memberi reaksi. Dia mengulangi sehingga sebati dan berfikir tidak boleh ada jalan lain lagi untuk membodohkan diri menjadi terkenal.


Budaya ini secara relatifnya masih baru di kalangan Melayu. Akan tetapi, mabuk inilah yang paling susah dirawat. Sedikit teguk pun, dia sudah terhuyung dengan mabuk populariti, sehinggakan dia dengan sengaja melanggar hak orang lain di media sosial.


Tatkala amatlah jarang orang yang sedang mabuk, tidak sedar setelah mendengar letupan. Tetapi dalam hal ini, makin meletup, makin mabuklah Melayu.



Hilangkan mabuk Melayu


Orang yang telah mabuk selepas meminum arak, ubatnya hanyalah tidur. Jika dia tidak menyusahkan orang sekeliling sekalipun, paling teruk dia akan muntah ke lantai dan kadang-kadang terkena bajunya sendiri. Atas sebab inilah orang Melayu marah sangat dengan arak.


Dalam dia tidak sedar, dia sebenarnya selalu juga mabuk tanpa arak.


Dia sudah tahu ubat mabuk. Cuma dia selalu bangun lewat, dan geli pula akan muntah sendiri.



























35 views

Recent Posts

See All

Sistem pendidikan perlu 'defederalize'

Saya fikir sudah sampai masa sistem pendidikan negara perlu defederalize. Tanpa menafikan keperluan pendidikan diseragam dalam perkara...

Kuota pemain muda

Apabila FAM memperkenalkan strategi naturalisasi dalam bola sepak, nampaknya ia mula menampakkan hasil yang dingini. Masalah utama yang...

bottom of page