Isu halal akan kelihatan seperti tenggelam dan timbul semula — bergantung kepada bagaimana ia melalui proses publisiti. Jarang orang Melayu tidak ambil endah dengan isu halal, walaupun ia tidak melibatkan semata-mata hal makanan. Media pula akan mempuat liputan tidak kurang dari tiga hari sekiranya melibatkan isu besar. Kegagalan orang Islam menjadi pemain industri utama menambahkan lagi keupayaan bangsa lain untuk menghasilkan produk. Orang Islam selesa dengan hanya menjadi pengguna.
Kegagalan pihak berwajib sedia ada untuk membuat pemeriksaan berkala mengakibatkan urusan pengesahan halal hanya bermula dengan inisiatif pengusaha produk, dan selalunya hanya berakhir dengan kekeliruan masyarakat tentang status halal.
Ia adalah disebabkan oleh ketidakupayaan autoriti berpusat seperti JAKIM untuk memantau segala jenis produk dan perusahaan. Proses yang lambat dan tertangguh hanya menambah lagi kerumitan sedia ada. Kadang-kadang penguatkuasaan tentang sijil halal menampakkan berlakunya pertindihan bidang kuasa.
Untuk jangka masa panjang, ia akan membantutkan perindustrian. Untuk menambahbaik lagi penguatkuasaan, JAKIM seharusnya memecahkan pemusatan kepada unit-unit tertentu dalam Pihak Berkuasa Tempatan di setiap negeri dan sudah tentu ia akan bermula dengan undang-undang atau akta baru.
Proses permohonan sijil halal dapat dijalankan dengan lebih terusun di samping kerjasama dengan pejabat kesihatan yang berkenaan untuk memastikan soal kebersihan tidak dikompromi. Tambahan pula, ia bertambah buruk disebabkan sikap orang Islam yang tidaklah begitu bersungguh-sungguh dalam soal kebersihan premis makanan— tidak seperti sikap mereka terhadap isu halal.
Penubuhan Unit Halal dan Kebersihan dalam PBT membolehkan pemantauan dilalukan dengan lebih menyeluruh mengikut kawasan masing-masing melalui proses perlesenan sedia ada. Dengan ini, alasan bilangan kakitangan terhad oleh pihak JAKIM sudah tidak relevan.
Pihak industri dan syarikat konglomerat juga difikirkan boleh mempersembahkan tambah nilai terhadap tanggungjawab menghasilkan produk halal dengan mewujudkan Unit Halal, mungkin di bawah bidang kuasa unit kawalan kualiti. Harus diakui, dengan sentimen dan pemikiran soal halal—haram oleh orang Islam, logo halal “akan menjadi lebih utama berbanding label nutrisi”. Jadi, nilai status halal itu kelihatan seakan-akan bahan promosi yang lebih cepat.
Diharapkan Unit Halal dan Kebersihan PBT menaik taraf usaha yang dilakukan JAKIM selama ini. Hal ini disebabkan juga oleh sikap orang Islam yang tidaklah anti-industri.
'Unit Halal dan Kebersihan' PBT
Updated: May 21